• Kemaskini Terakhir : Selasa 18 Julai 2017.
Pilihan Tema: HSASDefault HSASOrange HSASGreen HSASLilac

SOALAN LAZIM : UMUM

1. Adakah terdapat mesin ATM di dalam kawasan hospital?

Ya, terdapat satu mesin ATM Maybank disediakan di ruangan lobi berdekatan dengan pintu masuk hospital di Tingkat Dua.

 

2. Adakah pihak hospital ada menyediakan kemudahan internet tanpa wayar (wifi)?

Tidak, perkhidmatan  internet tanpa wayar (wifi) masih belum disediakan di ruangan lobi hospital.

 

3. Adakah tempat letak kenderaan disediakan di dalam kawasan hospital?

Ya, anda boleh meletak kenderaan anda di mana-mana kawasan yang bertanda P dan ianya adalah percuma.

 

4. Dimana saya boleh membeli barangan runcit dan makanan? Apakah perkhidmatan lain yang disediakan?

Terdapat 2 kedai runcit di lobi hospital di Tingkat 2. Anda juga boleh membeli setem, surat khabar dan majalah di situ. Kafeteria juga terdapat di kawasan yang sama.

 

5. Adakah merokok dibenarkan di dalam kawasan hospital?

Tidak, kawasan hospital adalah kawasan larangan merokok.

 

6. Mengapakah kerusi dia lobi dan ruang-ruang menunggu tidak mencukupi?

Pada awalnya, lobi dan ruang-ruang menunggu di HoSHAS dibuat berkonsepkan tanpa kerusi. Walau bagaimanapun, memandangkan konsep ini kurang bersesuaian dengan budaya tempatan, HoSHAS telah menyediakan beberapa buah kerusi untuk keselesaan pesakit bersantai bersama keluarga dan untuk kemudahan pelawat semasa menunggu waktu melawat. Penyediaan kerusi dan kemudahan yang terdapat di hospital juga adalah berdasarkan peruntukan yang sedia ada selain daripada sumbangan serta wakaf daripada orang ramai.

 

7. Mengapakah parkir kederaan tidak mencukupi?

Terdapat 941 lot tempat letak kenderaan disediakan untuk pelawat dan kakitangan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah. Memandangkan hospital ini menggunakan sistem waktu bekerja syif, ini menepati peraturan yang telah ditetapkan oleh EPU (Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri) iaitu 1 parkir : 4 wargakerja

 

8. Apakah tahap kebersihan dan keselesaan tandas yang diesediakan?

Tandas dibersihkan sekurang-kurangnya 6 kali sehari dan penyeliaan terhadap kebersihan tandas akan dilakukan secara berkala terutamanya semasa waktu puncak. Pelawat adalah dinasihatkan untuk sama-sama menjaga kebersihan tandas dan tidak membuang sebarang sisa-sisa yang tidak sepatutnya ke dalam mangkuk tandas atau sinki bagi memastikan tandas berada dalam keadaan yang baik.

 

9. Kenapakah tempoh waktu melawat singkat?

Kawasan hospital merupakan kawasan yang sering terdedah kepada jangkitan penyakit. Waktu melawat pada hari Sabtu, Ahad dan Hari Kelepasan Am telah dihadkan bagi memastikan para pelawat tidak terdedah dengan wabak penyakit sekaligus mengurangkan risiko penyakit berjangkit dikalangan pesakit dan para pelawat.

 

10. Kenapakah kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan naik ke wad?

Kawasan hospital khususnya di wad-wad sering terdedah kepada sebarang jangkitan penyakit. Kanak-kanak merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti memandangkan imunisasimereka tidak kuat. Oleh yang demikian, bagi mengelakkan kanak-kanak mendapat sebarang jangkitan penyakit, pihak HoSHAS mengambil inisiatif untuk tidak membenarkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun melawat pesakit di wad.

 

SOALAN LAZIM : LATIHAN DAN KERJAYA

1. Bagaimana caranya untuk saya memohon latihan industri di HOSHAS?

Pelajar yang berminat untuk menjalankan latihan industri di HOSHAS perlu membuat permohonan rasmi bertulis kepada Pengarah HOSHAS. Pelajar perlu menyertakan:

  1. Resume pelajar;,
  2. Salinan Kad Pengenalan yang telah disahkan;
  3. Sijil-sijil yang telah disahkan (yang berkaitan); dan
  4. Surat pengesahan pelajar IPTA/IPTS/Kolej berkenaan

Permohonan perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga (3) bulan sebelum latihan bermula.

 

2. Bagaimana pula caranya untuk saya memohon menjalani Posting Elektif di HOSHAS?

Permohonan rasmi boleh dibuat secara bertulis kepada Pengarah HOSHAS dengan menyertakan:

  1. Resume pelajar;
  2. Borang Permohonan Menjalani Posting Elektif Di Fasiliti KKM yang boleh didapati di www.moh.gov.my – Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil. 16/2008;
  3. Surat pengesahan atau sokongan dari Dekan IPTA/IPTS yang berkenaan;
  4. Salinan Kad Pengenalan atau Pasport (bagi bukan warganegara) yang telah disahkan.

Permohonan perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga (3) bulan sebelum latihan bermula.

3. Bagaimanakah akan saya ketahui jika permohonan saya berjaya?

Surat kelulusan untuk menjalankan latihan industri/Posting Elektif akan dihantar oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang kepada:

  1. IPTA/IPTS/Kolej yang berkenaan;
  2. Pelajar yang memohon;
  3. HOSHAS;

Atau

Pelajar boleh menghubungi Unit Latihan HOSHAS di talian 09-2955333 samb. 5376/1321.

4. Adakah HOSHAS menyediakan kemudahan penginapan?

Tidak, HOSHAS tidak menyediakan kemudahan penginapan sepanjang latihan industri berjalan.

 

5. Adakah elaun diberi kepada pelajar yang menjalani latihan industri?

Tiada sebarang elaun dibayar sepanjang tempoh pelajar menjalani latihan di Jabatan ini.

 

 6. Bagaimanakah  saya boleh mendapatkan keterangan  lanjut berkenaan dengan latihan industri/Posting Elektif tersebut? 

Anda boleh mendapatkan maklumat berkenaan dari:
Unit Latihan

Bahagian Pentadbiran

Hospital Sultan Haji Ahmad Shah

Jalan Maran

28000 Temerloh

E-mel :

No. Tel : 09-2955333 samb. 5376/1321
No. Faks : 09-2972468

 

7. Bagaimanakah caranya untuk memohon jawatan kosong di HOSHAS?

Urusan pengambilan jawatan tetap ke perkhidmatan awam adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Sehubungan itu, setiap permohonan untuk pengisian jawatan kosong perlulah dibuat melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) iaitu menerusi laman web www. spa.gov.my (SPA8).

Permohonan kerja secara sambilan (pelbagai jawatan) di HOSHAS boleh dihantar permohonan rasmi secara bertulis kepada Pengarah HOSHAS dengan menyertakan:

  1. Resume pemohon;
  2. Jawatan yang dipohon;
  3. Salinan sijil-sijil yang berkaitan yang telah disahkan.

** Pengambilan hanya dibuat apabila ada keperluan.

 

SOALAN LAZIM : BIL DAN BAYARAN

1. Berapakah caj kemasukan @ cagaran hospital bagi warganegara dan bukan warganegara?

Bagi warganegara wang cagaran  berbeza mengikut disiplin. RM 20 untuk kes Perubatan, RM30 untuk kes Pembedahan dan RM 15 bagi kes Sakit Puan. Manakala bagi bukan warganegara RM 800 bagi kes Perubatan, Pembedahan  dan  kes Sakit Puan.  RM400 dikenakan bagi wad kelas tiga sahaja.

 

2. Siapakah yang boleh mendapat pemotongan atau pengecualian bil hospital?

Mana-mana pesakit yang mengisytiharkan dirinya miskin yang termaktub dalam pekeliling dan perlu membuat permohonan kepada pihak hospital.

 

 3. Apakah penyakit berjangkit yang dimasukkan ke wad dikecualikan dari bayaran?

Ya, semua jenis penyakit berjangkit dikecualikan mengikut Garis Panduan Pengurusan Caj bagi Penyakit Berjangkit.

 

4. Apakah dokumen-dokumen yang perlu dibawa semasa mendapatkan rawatan atau kemasukan bagi tujuan pengecualian bayaran?

Kad Kebajikan Masyarakat/MAIP, Kad Pencen, surat sekolah, surat pengesahan  (GL) dan Surat Pengesahan/Kad OKU.

 

5. Berapakah kadar bayaran kereta jenazah?

Bagi jarak kurang 30 km kadarnya RM 10 sahaja. Bagi jarak diantara 30 km hingga 800 km, kadarnya adalah 35sen bagi setiap kilometer. Walaubagaimanapun, bayaran tol adalah ditanggung oleh pewaris yang mengiringi (1 hala perjalanan).

 

6. Adakah bayaran dikenakan untuk mendapatkan laporan perubatan?

Bayaran yang dikenakan adalah seperti berikut:

 

Laporan Penyata biasa

Laporan ringkas Pakar

Laporan Terperinci Pakar

Warganegara

RM40

RM80

RM200 – RM1000

Bukan Warganegara

RM80

RM160

-

7. Adakah saya akan dikenakan caj perawatan untuk pesakit luar dan jika ada pengecualian apakah syarat –syaratnya?
Setiap pesakit akan dikenakan caj setiap kali hadir ulangan perawatan berdasarkan kepada Akta Fee. Pengecualian adalah berdasarkan kepada Pekeliling . Kakitangan Awam boleh mengemukakan Surat Pengesahan Majikan untuk pengecualian caj.
            Caj Perawatan:
                        Rujukan daripada Klinik Kerajaan - RM 1.00
                        Rujukan daripada Klinik Pakar - RM 5.00
                        Rujukan daripada Klinik Swasta - RM 5.00
                        Warga Asing (Pendaftaran) - RM 60.00
                        (Ulangan) - RM 10.00

 

SOALAN LAZIM : RAWATAN PERUBATAN

1. Bagaimana caranya untuk mendapatkan rawatan di klinik pakar?

Anda perlu diperiksa oleh pegawai perubatan di klinik kesihatan terlebih dahulu sebelum dirujuk kepada klinik pakar.

 

2. Apakah yang dimaksudkan dengan kes-kes kecemasan bagi tujuan rawatan di Jabatan Kecemasan?

Kes-kes kecemasan termasuk kes kemalangan ( di jalan raya / di tempat kerja / domestik ) serangan lelah, serangan jantung, pengsan, digigit ular, kebakaran, sawan, pendarahan kemaluan, keracunan makanan,  sakit perut secara tiba-tiba dan amat kuat.

 

3. Bagaimanakah cara untuk mendapatkan laporan perubatan?

Anda haruslah memohon secara bertulis kepada pengarah hospital terbabit.

 

4. Berapa lama proses untuk mendapatkan laporan perubatan?

4 minggu hari bekerja bagi hospital berpakar dan 2 minggu bagi hospital daerah ( setelah permohonan yang lengkap dikemukakan)

 

5. Adakah bayaran dikenakan untuk mendapatkan laporan perubatan?

Bayaran laporan oleh pegawai perubatan RM40 manakala bagi pakar perubatan RM 200 – RM 1000, tertakluk kepada masalah pesakit.

 

6. Adakah waris dibenarkan menunggu pesakit di dalam wad?

Ya. Ibu/bapa/penjaga jika pesakit kanak-kanak, Manakala pesakit dewasa Cuma mereka yang tenat sahaja dan penjaganya mestilah sama jantina.

 

7. Adakah semua kematian yang melibatkan kes polis mesti dibedah siasat?

Tidak semestinya. Bedah siasat hanya akan dibuat sekiranya ada post mortem order dari pihak polis.

 

8. Adakah cara untuk mengelakkan bedah siasat?

Boleh, hanya dengan perintah pembatalan bedah siasat dari Majistret.

 

9. Adakah pihak hospital bertanggungjawab di atas kehilangan harta benda atau kenderaan pesakit / waris?

Tidak. Pihak hospital tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan. Oleh sebab itu pesakit/waris dinasihatkan tidak membawa sebarang barang berharga semasa berada di hospital.

 

10. Adakah bomoh dibolehkan melawat dan merawat pesakit di dalam wad?

Boleh melawat, tetapi tidak merawat atau menganggu pesakit.

 

11. Di mana saya boleh dapatkan bantuan kebajikan pesakit?

Pesakit boleh membuat permohonan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang ada di setiap daerah dengan surat sokongan dari pegawai yang merawat di hospital terbabit.

 

12. Bolehkah waris mengiringi pesakit lebih daripada satu orang?

Tidak boleh melebihi 1 orang. Ianya adalah polisi Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

13. Bolehkah pesakit yang mengandung menjalani pemeriksaan X-Ray?

Pesakit yang mengandung seharusnya memberi tahu doktor bahawa mereka sedang mengandung. Seboleh-bolehnya dielakkan, terutama sekali 3 bulan permulaan mengandung, kerana kesan kepada pembentukan organ bayi dalam kandungan. Jika X-Ray terpaksa dijalankan, doktor akan memaklumkan pesakit dan akan melindungi bahagian perut dengan Penghadang Plumbum.

 

14. Jika pesakit mempunyai alahan kepada mana-mana ubatan/makanan, perlukah saya memaklumkan doktor?

Ya, pesakit haruslah memberi tahu doktor yang merawatnya agar reaksi alahan yang serius dapat dielakkan.

 

15. Adakah pihak Hospital dibenarkan mengeluarkan laporan perubatan bagi pesakit atau simati setelah mendapat permohonan dari keluarga atau peguam pesakit/si mati?

Sebarang laporan perubatan pesakit boleh dikeluarkan terus oleh Hospital kepada sesiapa yang memohon dengan syarat laporan yang dikeluarkan adalah berasaskan kepada butir-butir rekod perubatan pesakit. Kadar bayaran bagi pengeluaran laporan perubatan tersebut mestilah berdasarkan kepada kadar standard yang telah ditetapkan.

 

16. Bagaimana saya boleh mendapatkan perkhidmatan kepakaran untuk anak saya di Klinik pakar kanak-kanak?
Anda boleh memperolehi perkhidmatan kepakaran di Klinik kami dengan membawa surat rujukan dari mana-mana Klinik ataupun hospital. Untuk pesakit –pesakit dari wad yang datang untuk rawatan susulan, anda hanya perlu membawa kad temujanji Klinik.

17. Bolehkah saya membawa anak saya untuk berjumpa dengan doktor di Klinik pakar pada bila-bila masa sahaja?
Anda perlu membuat temujanji dahulu di Klinik kami. Perkhidmatan kami adalah mengikut hari dan masa yang tertentu sahaja.

18. Bolehkah saya membawa saudara-mara saya untuk melawat bayi saya yang telah dimasukkan ke wad NICU/Nurseri untuk rawatan lanjut?
Hanya ibubapa yang dibenarkan masuk untuk melawat bayi mereka di wad NICU/Nurseri. Polisi ini adalah untuk mencegah jangkitan kuman kepada bayi­-bayi yang kurang sihat di wad ini.

19. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan perawatan Fisioterapi?
Setiap pesakit perlu berjumpa Pakar atau  Pegawai Perubatan di mana – mana klinik Kerajaan atau swasta . Mereka akan membuat penilaian dan pemeriksaan dan menentukan kesesuaian indikasi untuk di rujuk kepada Fisioterapi. Surat Rujukan mesti disertakan semasa mendaftar dan menetapkan temujanji. Ulangan perawatan adalah berdasarkan kepada temujanji.

20. Jika saya dimasukkan ke Wad bagaimanakah untuk saya mendapatkan perawatan Fisioterapi?
Mana – mana pesakit yang sedang menerima perawatan di dalam wad , jika dinilai oleh Pakar atau Pegawai Perubatan mempunyai indikasi , boleh dirujuk untuk perawatan Fisioterapi. Jurupulih Perubatan Anggota yang bertugas akan membuat penilaian dan akan menentukan program yang bersesuaian .

21. Apakah masalah – masalah biasa yang dirujuk untuk menjalani perawatan Fisioterapi?
Peratusan terbesar yang selalu diterima untuk menjalani perawatan  Fisioterapi adalah berkenaan masalah Sakit Belakang (Back Pain). Diikuti masalah  Kesakitan pada sendi disebabkan  perubahan degeneratif ataupun traumatik. Kelemahan otot dan kemerosotan julat pergerakan sendi juga antara masalah yang biasa . Kes - kes medikal dan pediatriks selalunya melibatkan masalah pernafasan.

SOALAN LAZIM : DIET DAN PEMAKANAN

1.  Adakah makanan yang disediakan di hospital ini dicampur dengan ubat-ubatan?
Tidak, penyediaan makanan untuk pesakit di hospital tidak dicampur sebarang ubat-ubatan. Namun untuk sesetengah pesakit tertentu diberikan diet teraputik (diet biasa yang diubahsuai kandungan nutrien/zat tertentu) sebagai pelengkap kepada perawatan pesakit tersebut.

2.  Mengapa makanan saya ini rasa tawar?
Makanan tawar atau rendah garam adalah salah satu diet teraputik yang disediakan untuk pesakit yang mengidap penyakit tekanan darah tinggi. Mungkin anda adalah pengidap penyakit tekanan darah tinggi.

3.  Jika saya ingin kurus, adakah saya tidak boleh makan nasi?
Tidak betul. Kita mesti mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang untuk sihat dan cergas. Sekiranya ingin menurunkan berat badan, kurangkan pengambilan nasi bukan langsung tidak mengambilnya dan tingkatkan aktiviti fizikal.

4.  Saya mempunyai soalan tentang pemakanan, siapakah yang boleh saya hubungi?
 Pegawai Dietetik boleh membantu anda, hubungi mereka pada waktu pejabat di talian 09-2955333 sambungan 5311/5312.

5.  Saya perlu berjumpa dengan Pegawai Dietetik untuk mendapatkan nasihat pemakanan tentang penyakit kencing manis / darah tinggi / obesiti / kegagalan kegagalan / lain-lain, bagaimanakah caranya?
Pastikan dahulu anda mendapat surat rujukan dari Pegawai Perubatan, seterusnya dapatkan tarikh dan masa temujanji dengan menghubungi 09-2955333 sambungan 5311/5312. Untuk kemudahan anda, anggota klinik tempat anda mendapatkan rawatan boleh membantu anda menghubungi kami untuk mendapatkan tarikh temujanji ini.

 

SOALAN LAZIM : FARMASI & UBAT-UBATAN

1. Bolehkah saya mendapat baki bekalan ubat seterusnya di klinik/hospital yang berhampiran dengan tempat tinggal saya?

Bahagian perkhidmatan farmasi telah memperkenal satu sistem yang membolehkan pesakit mendapat bekalan susulan di klinik/hosital berdekatan di mana ia dikenali dengan SPUB (system pembekalan ubat bersepadu).Hanya  fasiliti yang tersenarai dalam jadual fasiliti yang diboleh untuk dirujuk bagi kes SPUB.Dengan adanya sistem ini pesakit tidak perlu lagi berulang alik dari kediaman ke hospital di mana ia mendapat rawatan untuk mendapatkan bekalan ubat. Di samping itu, ia juga boleh meningkatkan komplians pesakit terhadap ubat-ubatan yang digunakan.

 

2. Ubat titis mata boleh digunakan untuk berapa lama selepas dibuka?

Ubat titis mata boleh digunakan sebulan setelah ia dibuka dan ia juga bergantung kepada tarikh luput yang tertera pada botol ubat tersebut atau yang mana terlebih dahulu. Ubat titis mata juga boleh digunakan berdasarkan arahan doktor mengikut ketentuan jangkamasa perubatan.

PAUTAN PANTAS
button-mygov MSC Malaysia sppa-timur Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia MAMPU Perbendaharaan Malaysia Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia mdec Myhealth MyCPD2 MOH My HRMIS ePenyata Gaji ePerolehan

Syarat-Syarat

Piagam Pelanggan

Hak Cipta

Dasar Privasi

Dasar Keselamatan

Soalan Lazim

Hubungi Kami

Tentang Kami

W3C

 
PENAFIAN : Hospital Sultan Haji Ahmad Shah dan Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini. PAPARAN TERBAIK : Menggunakan Pelayar
Mozilla FirefoxGoogle ChromeOperaApple SafariInternet Explorer
dengan resolusi 1024x768 piksel ke atas
2006 - 2017 © Hakcipta Terpelihara Portal Rasmi Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, Pahang Darul Makmur.