Hospital Jerantut terletak di Mukim Pedah dalam daerah Jerantut. siap dibina pada awal tahun 1977, ditapak seluas 9.3 hektar. Memulakan operasi rawatan pesakit luar pada 16 Julai 1977 dan beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos 1977. Ianya diikuti dengan perkhidmatan sokongan lain yang ditempatkan dalam sebuah bangunan yang sama meliputi Unit Kecemasan, Unit x-ray , Unit Farmasi dan Rekod Perubatan.
Perkhidmatan rawatan pesakit dalam mula beroperasi dengan 49 katil. Hospital Jerantut telah dirasmikan pada 26 Januari 1979 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah.
Hospital daerah Jerantut ini memberikan perkhidmatan perawatan dan perubatan kepada penduduk disekitar bandar dan daerah ini. Dengan keluasan 7558 Km persegi, menjadikan daerah ini adalah daerah terbesar dalam negeri Pahang. Ianya bersempadan dengan negeri Kelantan dan Terengganu di bahagian utara, bersempadan dengan daerah Temerloh dan Maran di bahagian selatan, bersempadan dengan daerah Kuala Lipis dan Raub di bahagian barat dan bersempadan dengan daerah Kuantan di bahagian timur. Jerantut juga terkenal dengan pintu masuk Taman Negara yang terkenal dengan keindahan alam semulajadinya.